Taska, Tadika & SAR Al-Fitrah: Suatu Hari Nanti Pasti Berjaya

August 21, 2015

Suatu Hari Nanti Pasti Berjaya


Kejayaan tidak datang bergolek. Ketekunan dan usahalah yang menjadi PEMANGKIN kepada sesuatu keberjayaan. Rajin, berusaha, bersungguh-sungguh, bersemangat, patuh dan pelbagai lagi istilah lain yang boleh dikaitkan dengan pemangkin kepada kejayaan. Tapi jika Tuhan kata “Jadi”, maka barulah ia terjadi dengan kehendakNya yang Maha Berkehendak.

Suatu ketika dahulu, sekolah itu pada awal penubuhannya di pinggir bandar, ia kelihatan agak gempak dan keriuhan kerana kewujudannya yang begitu menarik perhatian ramai masyarakat sekeliling dek kerana bangunan premisnya yang hanya terletak betul-betul di sebelah jalan raya. Kawasan sekolah menengah. Tempat para guru dan ibubapa lalu lalang, berulang-alik mengambil anak-anak, berehat dan menunggu masuknya waktu solat kerana disebelahnya juga terdapat masjid. Namun, bak kata orang, ‘ada sahaja manusia yang tidak akan menyenangi’. Itulah yang dikatakan ujian.

Mungkin sudah tiba masanya ketika itu, Tuhan meminta berlakunya perubahan atas apa yang terjadi.

Seorang ibu dan bapa juga merangkap GURU yang mengajar di sekolah menengah. Lebih rasional dan mengerti tanggungjawab sesama guru. Namun tindakan memburukkan sekolah, memekik-mekik cuba memanggil orang ramai, jika boleh hendak dipanggilnya juga para wartawan mahu apa yang dijerit-jerit dan dipekik-pekinya itu diketahui umum. Hanya kerana mendengar kata-kata anak kecilnya yang berumur tiga tahun lebih itu bahawa anaknya dikurung ke dalam bilik stor. Stor? Sudah tentu tidak ada! Sudah terlalu lama bangunan itu berdiri  disitu, disewa dan kemudian diguna pakai sekolah. Jiran-jiran yang sering berkunjung juga boleh mengesahkan. Mereka terlupa anak tunggalnya ketika itu (pada ketika itu hanya mempunyai seorang anak) sangat aktif dan agak susah untuk mendengar kata. Mereka terlupa bahawa mereka sendiri tidak mendengar nasihat guru yang bertanggungjawab pada ketika itu agar tidak memasukkannya dahulu ke kelas tadika, dan cuba menyesuaikan dulu diri anaknya dengan suasana pembelajaran yang sesuai dengan tahap umurnya. Mereka terlupa sehingga ter’aib kan juga diri sendiri terpekik terlolong di hadapan pagar sekolah sehingga sekolah menjadi perhatian seluruh bandar pada ketika itu.

Agak merudum semangat para guru dalam perjuangannya ketika itu. Didikan solat yang sempurna, bacaan Al-Quran, hafazan surah dan doa, cara hidup islam, dan amalan nilai-nilai murni yang menjadi pengajaran wajib di sekolah tetap diteruskan walau semangat semakin goyah. Syukur disebalik ujian yang mendatang, ada yang sudi memberi kekuatan. Kata-kata semangat, nasihat dan sokongan. Bila ujian datang, maka ketahuilah, ‘Tuhan menyayangi hamba-hambaNya’. Itulah tanda kasih sayangNya.

Hingga kini masih terdengar cerita-cerita mengenai ‘sekolah itu begitu dahulu’, ‘sekolah ini begini dahulu’. Diendahkan sahaja. Kerana Tuhan lebih mengetahui dari segala-galanya. Perjuangan harus diteruskan. Begitulah pengorbanan seorang guru. Sanggup menerima caci maki masyarakat di sekelilingnya. Melupakan dunia yang sering cuba melalaikannya. Mengaut pahala akhirat yang menantinya. Itu yang dimengertinya sebagai KEJAYAAN SEGALA KEJAYAAN. Mendidik anak-anak diseawal usianya agar menjadi anak yang soleh, anak yang berbudi, anak yang taat, anak yang cerdas, dan anak yang mengenal a b c, 1 2 3 dan alif ba ta. 




No comments:

Post a Comment

Taska, Tadika dan SAR Al-Fitrah Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign